SANDAKAN: Majlis Perbandaran Sandakan (MPS) merobohkan 347 rumah setinggan yang dihuni warga asing menerusi operasi bersepadu di tiga kawasan di daerah ini bermula semalam.
Tiga kawasan itu ialah berhampiran bandar Nam Tung membabitkan 54 rumah, Beach Garden (68 rumah) serta Batu 2.5 yang melibatkan 225 rumah.
Ketua Unit Setinggan MPS Kassim Selamat berkata perobohan itu bagi memberi laluan kepada pemaju melaksanakan pembangunan iaitu perumahan di Beach Garden, terminal bas di Batu 2.5 dan pasar di Nam Tung.
MPS mengenal pasti lebih 90 peratus penghuni rumah terbabit adalah pendatang tanpa izin, katanya di sini hari ini.
Menurutnya MPS juga mendapati majoriti penghuni menyambung bekalan air dan elektrik secara haram.
“Mereka juga tidak mengamalkan aspek kebersihan, di samping terdedah dengan kegiatan tidak sihat dan menggugat keselamatan,” katanya.
Menurut Kassim operasi yang dijalankan dengan kerjasama pihak imigresen, polis, Jabatan Pendaftaran Negara, jabatan air dan Sabah Electricity Sdn Bhd itu akan dilaksana di beberapa lagi kawasan setinggan sebaik mendapat arahan.
Beliau berkata tiada tempoh rayuan dan pertimbangan dibenarkan selepas notis merobohkan rumah diberikan kepada penghuni kawasan setinggan terbabit.
Sumber: Borneo Insider & Bernama (25/6/2013)
[Gambar Hiasan - sebuah kampung air di Sandakan]