KUALA LUMPUR, 7 Jun (Bernama) -- Gabungan Jawatankuasa Sekolah-sekolah Cina Malaysia (Dong Zong) berpandangan adalah sesuai sekiranya kerajaan mengekalkan kurikulum Bahasa Malaysia sedia ada di semua Sekolah Jenis Kebangsaan (SJK), berbeza dengan sukatan di Sekolah Kebangsaan (SK) bagi memudahkan muridnya menguasai bahasa ibunda masing-masing.
Naib Pengerusinya Chow Siew Hon berkata kurikulum itu boleh dilaksanakan di SK kerana kebanyakan murid yang terdiri daripada kaum Melayu sudah biasa dan lebih mudah menguasainya kerana bahasa Malaysia adalah bahasa ibunda mereka.
"Sebaliknya, jika sistem kurikulum ini dipratikkan di SJK ia mungkin akan membebankan murid-muridnya kerana pada masa yang sama mereka turut mempelajari bahasa ibunda masing-masing. "Ini juga bermakna masa yang diperuntukkan untuk mempelajari bahasa ibunda menjadi kurang kerana tumpuan sepenuhnya diberikan untuk mempelajari bahasa kebangsaan dan bukannya bahasa ibunda," katanya ketika dihubungi Bernama.
Chow berkata sistem kurikulum perlu diselaraskan berdasarkan kepada keupayaan penguasaan di kalangan murid-murid dan kajian perlu dijalankan sebelum melaksanakan sistem kurikulum itu. Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas gesaan ahli akademik Profesor Dr Teo Kok Seong dari Universiti Kebangsaan Malaysia meminta Dong Zong berfikiran terbuka terhadap usaha kerajaan untuk menyemai perpaduan dan meningkatkan kedudukan Bahasa Malaysia.
Chow menegaskan bahawa pihaknya tidak pernah membantah pembelajaran bahasa kebangsaan di SJK meskipun dalam masa yang sama mempertahankan penguasaan bahasa ibunda.
"Kami tidak menghalang pembelajaran bahasa Malaysia di kalangan murid-murid di SJK, malah kami turut menetapkan semua murid di SJKC dan Sekolah Menengah Persendirian Cina seluruh negara wajib mengambil dan lulus mata pelajaran itu sebagai syarat mereka untuk menamatkan pengajian.
"Sudah semestinya sebagai warganegara Malaysia, kita wajib mahir menguasai bahasa kebangsaan namun kami tidak mengabaikan bahasa ibunda sebagai bahasa dan budaya yang perlu diwarisi kepada generasi akan datang.
"Negara kita unik kerana terdiri daripada masyarakat berbilang kaum dan saya percaya semua kaum juga turut mempertahankan bahasa ibunda masing-masing kerana berharap bahasa ibunda dapat ditutur dan dikuasai dengan baik.
"Tidak dinafikan bahasa kebangsaan menyatukan kita semua, sebab itulah muridmurid di sekolah Cina dan Tamil diwajibkan mempelajari bahasa kebangsaan tetapi sebagai bahasa kedua mereka sama seperti mempelajari Bahasa Inggeris di SK kerana sebagai rakyat Malaysia, kita wajib memahami dan bertutur dalam bahasa kebangsaan," katanya.
Katanya usaha mempertahankan penguasaan bahasa ibunda di negara berbilang kaum ini bukan perkara yang mudah. "Ini kerana apabila kami mempersoalkan tentang memartabatkan bahasa ibunda, semua kaum pun turut melakukan perkara yang sama dan ia tiada kaitan dengan aspek perpaduan.
"Takkan tindakan itu disifatkan sebagai satu penghalang perpaduan kaum kerana semua kaum juga memainkan peranan masing-masing dalam memastikan bahasa dan budaya mereka dapat diwarisi secara turun-temurun," katanya.
Pada September tahun lepas, Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Pendidikan Tan Sri Muhyiddin Yassin menyatakan bahawa kerajaan bercadang untuk menyelaraskan kurikulum mata pelajaran Bahasa Malaysia yang sama dengan SK untuk murid di sekolah Cina dan Tamil bermula dengan murid kohort
tahun empat pada tahun 2014.
Sehubungan dengan itu, cadangan itu telah mengundang kepada bantahan beberapa badan bukan kerajaan (NGO) masyarakat Cina termasuk Dong Zong kerana cara itu tidak sesuai dipraktikkan di sekolah Cina dan Tamil. BERNAMA