“Kombinasi logam berat itu secara lazimnya boleh ditemui di kawasan perlombongan, peleburan, pembuangan sampah dan sisa toksik.
Namun ini tidak munasabah kerana tidak ada sebarang aktiviti tersebut dijalankan di dalam atau berhampiran kawasan tersebut,” ketika menggulung ucapan dasar kerajaan bagi kementeriannya pada persidangan Dewan Undangan Negeri di Likas, dekat sini hari ini.
Kes kematian 14 gajah Borneo ini menarik perhatian ramai pihak yang dikaitkan dengan perbuatan khianat di Hutan Simpan Rara, kira-kira 139km dari Tawau pada akhir Januari lepas.
Masidi berkata pakar patologi dari Fakulti Veterinar, Universiti Putra Malaysia (UPM) dan Thailand pula menekankan terdapat kehadiran bahan kaustik atau toksik yang mengakibatkan kerosakan pada sistem penghadaman gajah-gajah berkenaan.
Beliau berkata analisis terhadap buah pinggang dan limpa dilihat menyokong kepada penemuan itu manakala hasil analisis toksikologi daripada kedua-dua institusi (Jabatan Kimia Malaysia dan Ramathibodi Poison Centre, Thailand) tidak dapat mengesan sebarang toksik yang berkaitan.
Pada masa yang sama, katanya, kementeriannya menubuhkan satu jawatankuasa mengenai kes kematian gajah itu yang dianggotai beberapa jabatan kerajaan seperti Jabatan Hidupan Liar, Polis Diraja Malaysia, Jabatan Perhutanan Sabah, Jabatan Kimia Malaysia, UPM, Jabatan Perkhidmatan Haiwan Dan Perusahaan Ternak Sabah dan beberapa badan bukan kerajaan (NGO) seperti WWF-Malaysia, HUTAN, Danau Girang Field Centre dan Borneo Conservation Trust (BCT) untuk memantau proses penyiasatan ini.
Mengenai status pemeliharaan gajah, Masidi berkata kerajaan negeri bersetuju menaik taraf status pemeliharaan gajah Borneo ini (haiwan dilindungi kepada haiwan yang dilindungi sepenuhnya) mengikut Enakmen Pemeliharaan Hidupan Liar 1997.
Beliau berkata dengan penaiktarafan status ini, maka gajah Borneo diberikan tahap status perlindungan yang tertinggi iaitu hukuman mandatori penjara tidak kurang enam bulan tetapi tidak melebihi 5 tahun.
Berhubung impak negatif masyarakat antarabangsa dengan kejadian itu, beliau berkata persepsi itu tidak begitu tepat berikutan pada masa ini populasi gajah Borneo adalah berjumlah 2,000 ekor dan didapati kadar kelahiran gajah Borneo di beberapa kawasan meningkat lima peratus seperti di Sanktuari Hidupan Liar Kinabatangan dan Rezab Hidupan Liar Tabin.
Beliau berkata kementeriannya melalui Jabatan Hidupan Liar masih meneruskan siasatan terhadap kes itu dan ganjaran RM120,000 masih dibuka kepada sesiapa yang dapat memberikan maklumat sehingga tertangkapnya pesalah-pesalah ini dan dibawa ke muka pengadilan untuk penyabitan kesalahan.
“Pada masa ini, Jabatan Hidupan Liar dengan beberapa agensi kerajaan dan bukan kerajaan sedang melaksanakan Pelan Tindakan Spesis Gajah Borneo.
Ke arah itu, Jabatan Hidupan Liar dengan kerjasama Borneo Conservation Trust Sabah dan Borneo Conservation Trust Japan sedang membina sebuah Pusat Penyelamatan Gajah di Sanktuari Hidupan Liar Kinabatangan untuk menempatkan gajah-gajah yang terpulau dan tercedera,” katanya.
Dalam perkembangan lain, Masidi berkata ketibaan pelancong dari China meningkat dua kali ganda berbanding 97,072 orang dalam tempoh dua tahun.
Beliau berkata 103,917 pelancong China dicatatkan bagi tempoh empat bulan pertama tahun ini yang menunjukkan peningkatan 75 peratus (59,385 orang) berbanding tempoh yang sama pada tahun lepas.
“Jumlah ketibaan pelancong China juga menyumbang 31 peratus dari jumlah kedatangan pelancong luar negara ke Sabah,” katanya.
Sumber: Borneo Insider, June, 20, 2013.