KOTA KINABALU 11 Mac - Siswa-siswi Universiti Malaysia Sabah (UMS) diingatkan agar tidak terpengaruh dengan khabar angin menerusi laman sosial dan pesanan ringkas (SMS) berhubung isu pencerobohan di Lahad Datu dan Semporna.
Presiden Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) UMS, Mohd. Juhar Harun berkata, para pelajar harus mendapatkan informasi yang sahih daripada pihak pengurusan universiti atau Polis DiRaja Malayasia (PDRM) untuk mendapatkan perkembangan terkini berhubung isu keselamatan setempat.
"Seperti yang kita sedia maklum pihak pengurusan universiti telah memberi jaminan bahawa keselamatan pelajar adalah terjamin dengan adanya kawalan keselamatan oleh pihak pertahanan negara.
"Justeru itu para pelajar tidak perlu bimbang dan terus memberi keyakinan penuh terhadap keupayaan anggota keselamatan," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Pelajar tahun akhir Sekolah Sains Sosial (SSS) yang berasal dari Lahad Datu itu turut mengingatkan para pelajar UMS agar tidak terlibat dalam penyebaran khabar angin.
Beliau berkata, pelbagai aktiviti telah dijalankan oleh barisan kepimpinan MPP UMS dalam usaha menyemai semangat patriotik disamping memberikan sokongan padu kepada pasukan keselamatan dan pertahanan negara.
Ini termasuk solat hajat 'Pray For Sabah' pada 6 Mac 2013 dan kutipan 'Derma Kilat Perwiraku' yang dimulakan sejak 5 Mac lalu.
Juhar berkata, satu misi bersama-sama seluruh wakil kepimpinan mahasiswa seluruh negara juga bakal diadakan bagi merealisasikan satu kempen yang dikenali sebagai 'Gelombang Keamanan' yang berfokus kepada sokongan terhadap semua pihak yang berjuang untuk mengekalkan keamanan dan kemakmuran negara. - BERNAMA
Sumber: Utusan Malaysia