Timbalan Menteri Pertahanan, Datuk Abdul Rahim Bakri berkata, sebagai sebuah organisasi baru, ESSCOM yang ditubuh sejak dua bulan lepas, berada di landasan yang betul dan fasa penubuhannya adalah cepat.
Mereka yang dipertanggungjawab dalam ESSCOM diketuai Ketua Pengarahnya, Datuk Mohammad Mentek melaksanakan tugas yang diamanahkan dengan cekap sehingga dalam tempoh dua bulan, organisasi itu dapat diinstitutkan," katanya kepada pemberita selepas melawat pejabat sementara ESSCOM di Pangkalan Polis Marin di sini, Rabu.
Pembentukan ESSCOM diumum Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak pada 7 Mac lepas merangkumi daerah Kudat, Tawau, Kunak, Sandakan dan Lahad Datu untuk menjaga kedaulatan serta keselamatan kawasan pantai timur negeri Sabah.
Ia meliputi 1,400 kilometer kawasan pantai timur Sabah bermula dari Kudat sehinggalah ke Tawau.
Penubuhan ESSCOM adalah susulan insiden pencerobohan pengganas militan dari selatan Filipina di Kampung Tanduo, Tungku pada Februari lepas.
Abdul Rahim juga berkata, sokongan padu kerajaan pusat dan negeri akan dapatmeluaskan lagi peranan ESCCOM selari dengan matlamat penubuhannya.
Beliau berkata, ini penting bagi memastikan organisasi itu benar-benar memberi fungsi dan pelaksanaan tugas kepada kawasan timur negeri Sabah dari segi keselamatan serta pembangunan.
Terdahulu, Abdul Rahim melakukan lawatan kerja ke kawasan Operasi Daulat di Felda Sahabat di Kem Tanduo dan menyertai program jiwa murni kesihatan yang dilaksana Pasukan Perubatan Angkatan Tentera Malaysia di Kampung Tanjung Labian serta Tanjung Batu. - BERNAMA