Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak menyampaikan ucaptama sempena 'Invest Malaysia Asean's Multinational Marketplace 2013', hari ini - Foto Bernama
KUALA LUMPUR - Banyak pekerja masih dibayar di bawah paras gaji minimum, kata Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.
Beliau berkata ini masih berlaku disebalik majikan mereka mencatatkan keuntungan besar dan dasar gaji minimum telah diperkenalkan tahun lepas.
Perdana Menteri berkata ini mempersendakan logik dan keadilan.
"Jika kita mahu menjadi sebuah masyarakat yang lebih maju dan inklusif, kebajikan pekerja mesti diberi keutamaan. Saya minta semua majikan melakukan komitmen untuk membayar pekerja mereka gaji yang sewajarnya," katanya dalam ucaptama pada Invest Malaysia 2013 di sini hari ini.
Malaysia memperkenalkan Dasar Gaji Minimum pada Julai tahun lepas dan majikan diberi tempoh sehingga awal tahun ini untuk mula mematuhi peratuaran baru itu.
Gaji minimum di Semenanjung Tanah Melayu ditetapkan RM900 sebulan manakala di Sabah dan Sarawak RM800 sebulan.
"Kita perlu memastikan kita menyediakan syarat pekerjaan yang saksama di semua peringkat tenaga kerja," katanya.
Dalam memastikan kesaksamaan gender dalam dunia perniagaan di Malaysia, Perdana Menteri berkata beliau menggalakkan semua syarikat senaraian awam dan syarikat berkaitan kerajaan, secara sukarela mendedahkan kadar penyertaan wanita, daripada peringkat lembaga pengarah dan ke bawah.
Beliau juga menggesa syarikat memanfaatkan insentif dalam belanjawan persekutuan untuk menawarkan kemudahan pusat jagaan kanak-kanak di tempat kerja bagi membolehkan pekerja wanita mengseimbangkan antara komitmen kerja dan keluarga.
Beliau berkata dengan memanfaatkan insentif itu menawarkan kemudahan pusat jagaan kanak-kanak, rakyat Malaysia akan mempunyai peluang samarata untuk berkembang maju dalam kerjaya. - BERNAMA