KOTA KINABALU, 3 Jun (Bernama) -- Timbalan Menteri Pendidikan yang baru dilantik Datuk Mary Yap mencadangkan "amalan terbaik dahulu', termasuk mengutamakan aspek tatabahasa digabungkan dalam kaedah pengajaran Bahasa Inggeris di sekolah.
Beliau menegaskan wujud keperluan untuk mengembalikan semula amalan terbaik dahulu yang telah terbukti berjaya, untuk meningkatkan standard bahasa Inggeris di sekolah-sekolah.
Katanya Kementerian Pendidikan sedar mengenai isu bahasa Inggeris, yang sering dibahaskan di media, terutamanya keputusan kurang memberangsangkan dalam mata pelajaran Bahasa Inggeris dalam peperiksaan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR).
"Sebab itu kenapa Kementerian Pendidikan serius dalam mencari kaedah dan cara untuk menangani isu itu selaras dengan program transformasi kerajaan.
"Saya sedar terdapat amalan terbaik dahulu yang jelas bermanfaat dan efektif untuk mengalakkan penerimaan positif dalam pembelajaran bahasa Inggeris. Saya cadangkan amalan terbaik di masa lalu seperti Hari Bahasa Inggeris, Minggu Bahasa Inggeris atau Bulan Bahasa Inggeris diteruskan," katanya kepada
pemberita selepas mengadakan perjumpaan dengan pegawai pendidikan daerah serta menyampaikan surat kenaikan pangkat kepada pengetua sekolah menengah yang dinaikkan daripada gred DG52 kepada DG54 di Rumah Persekutuan di Sembulan, dekat sini Isnin.
Turut hadir Pengarah Pendidikan Sabah Jame Alip. Selain itu, katanya sekolah-sekolah termasuk sekolah rendah digalakkan menganjurkan pertandingan ucapan sebagai usaha untuk mencapai keputusan
yang diinginkan.
Mengenai pengajaran tatabahasa di sekolah, beliau percaya ia akan dapat menambahbaik silibus Bahasa Inggeris yang kini meliputi kemahiran mendengar, membaca, bertutur dan menulis.
"Adalah amat penting bahawa aktiviti-aktiviti berasaskan pembelajaran yang relevan diajar. Dengan cara ini, anda akan dapat lihat aspek tatabahasa bahasa Inggeris digunakan," katanya.
Bekas pendidik itu juga mencadangkan semua sekolah, khususnya di Sabah untuk menubuhkan Kelab Guru Bahasa Inggeris untuk membantu merealisasikan visi kementerian.
Mengenai kekurangan guru Bahasa Inggeris, terutamanya di kawasan luar bandar di Sabah, katanya beliau mahu laporan penuh berhubung perkara itu untuk diutarakan untuk pertimbangan di peringkat kementerian.
Beliau juga menyuarakan kebimbangan berhubung standard penguasaan bahasa Inggeris dalam kalangan guru Bahasa Inggeris di negara ini "apabila hanya 30 peratus mereka yang menduduki Ujian Penempatan Cambridge (CPL) baru-baru ini yang berjaya mendapat "C" (kompeten)".
"Tetapi, kami (kementerian) sedang berusaha menangani masalah ini, termasuk meningkatkan penguasaan dan kemahiran para guru," katanya. BERNAMA