KOTA KINABALU : Guru-guru yang menjalankan perniagaan tanpa hiraukan waktu kerja atau menjejaskan potensi dalam kerjaya mereka harus bersedia untuk menerima surat pemberhentian kerja.
Pengarah Jabatan Pelajaran Negeri Sabah, Jame Alip memberi amaran itu semasa sidang media selepas merasmikan Majlis Penutupan Kursus Kecemerlangan Pengurusan Syarikat Program Usahawan Muda (PUM) Negeri Sabah 2013, di sini, kelmarin.
“Suka saya ingatkan kepada kalangan guru-guru yang menjalankan sebarang perniagaan di luar dan tidak mematuhi masa dan peraturan waktu kerja tindakan akan diambil terhadap mereka,” katanya.
Beliau berkata mereka yang menjalankan perniagaan di luar sudah tentu boleh menjejaskan profesion perguruan mereka dan jika inilah yang berlaku mereka harus bersedia untuk menerima sebarang kemungkinan daripada pihak jabatan.
“Mereka yang tidak menghiraukan waktu kerja mereka sebagai guru sehingga potensi terjejas gara-gara menjalankan perniagaan di luar haruslah bersedia untuk menerima surat pemberhentian kerja,” tegas Jame.
Sementara itu, Jame turut menyokong dan bersetuju dengan cadangan Kementerian Pelajaran untuk memperkenalkan cuti sabatikal bagi membolehkan pengetua, guru besar dan guru bagi mengikuti pembelajaran di luar negara.
“Saya sangat bersetuju dengan cadangan kerajaan ini yang mana dulu, hanya diperkenalkan kepada para pensyarah dan kini diperkenalkan kepada pengetua, guru besar dan guru.
“Cadangan ini sekaligus memberikan peluang kepada mereka untuk melanjutkan pelajaran di luar negara dan memberikan pendedahan tentang skop-skop yang lebih luas tentang pembelajaran dan pengajaran,” kata beliau yang turut menyatakan akan mengadakan lawatan ke sekolah-sekolah di Tanjung Labian, Lahad Datu dalam masa terdekat.
Tambahnya, dengan cadangan itu, beliau juga percaya ia akan dapat meningkatkan kualiti pengajaran dan pembelajaran mereka dengan ilmu dan pandangan jauh yang diperolehi ketika menimba ilmu di negara luar.
Kementerian Pelajaran sebelum ini mencadangan tentang cuti sabatikal itu dan akan mengemukakan cadangan itu kepada Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, yang juga Menteri Pelajaran dalam masa terdekat.
Sumber: New Sabah Times (20/6/2013) http://www.newsabahtimes.com.my/nstweb/fullstory/69466