PENAMPANG: Pertandingan Sugandoi (nyanyian) Kaamatan Sabah mampu menjadi landasan untuk memantapkan lagi perpaduan dalam kepelbagaian rakyat berbilang etnik.
Sehubungan itu, Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air, Datuk Seri Dr Maximus Ongkili mahu pencipta lagu Kadazandusun Murut (KDM) supaya menghasilkan lebih banyak lagu menyelitkan lirik memupuk perpaduan dan semangat setiakawan.
Ongkili yang juga Timbalan Presiden Persatuan Kebudayaan Kadazandusun (KDCA) menyambut baik penganjuran Sugandoi Kaamatan yang menurutnya berjaya mencungkil bakat baharu dalam arena seni suara khususnya lagu-lagu Kadazan atau Dusun di Sabah.
"Saya mengalu-alukan kedatangan bakat baru dalam pertandingan ini. Bagi saya lebih ramai bakat yang dilahirkan, persaingan akan menjadi lebih sengit.
"Pada masa sama, Sugandoi Kaamatan ini boleh dijadikan sebagai medan untuk memupuk perpaduan," katanya ketika berucap sempena pertandingan akhir Sugandoi Kaamatan Sabah 2013 di Hongkod Koisaan, dekat sini malam tadi.
Ongkili, yang mewakili Timbalan Ketua Menteri dan Presiden KDCA Tan Sri Joseph Pairin Kitingan, berkata KDCA akan terus membantu memajukan industri seni tempatan melalui pelbagai program, termasuk Sugandoi Kaamatan Sabah.
Penyanyi Gedion Hilarius yang mewakili kawasan Dewan Bandaraya Kota Kinabalu muncul juara Sugandoi Kaamatan Sabah 2013 dan menerima hadiah wang tunai RM6,000 manakala naib juara disandang oleh Jaclyn Yun dari Sandakan (RM4,000). - BERNAMA