KUALA LUMPUR: Datuk Seri Najib Razak menegaskan Sabah adalah selama-lamanya sebahagian daripada Persekutuan Malaysia dan rakyat Sabah adalah warga negara Malaysia.
Perdana menteri berkata, kerajaan akan tetap mempertahankan kemerdekaan, kedaulatan serta keutuhan wilayah Malaysia daripada sebarang pencerobohan serta tidak akan membenarkan barang seinci pun bumi Malaysia dirampas oleh sesiapa.
Katanya, insiden keganasan di Lahad Datu, Sabah menjadi semboyan peringatan bahawa negara sekali-kali tidak mampu mengambil mudah soal keselamatan yang mana keamanan dan kestabilan yang berpanjangan tidak harus menjadi sebab ketumpulan tahap berwaspada.
Beliau berkata, tragedi itu sudah pun mengorbankan nyawa 10 anggota pasukan keselamatan negara iaitu lapan daripada pasukan Polis Diraja Malaysia dan dua anggota tentera.
“Kita menginsafi bahawa hasil pengorbanan pahlawan negara ini seperti mana pada era darurat memungkinkan kemajuan dan kemakmuran kita nikmati hingga hari ini. Pengorbanan mereka bukan sia-sia, pengorbanan mereka bukan kecil, pengorbanan mereka bukan untuk diperlekehkan.
“Oleh yang demikian, kepada pihak yang cuba untuk memperkecilkan sumbangan anggota keselamatan ini, saya mengingatkan mereka, belajarlah mengenang budi. Sewajarnya kita semua berterima kasih di atas jasa dan bakti mereka yang berjuang demi tanah air tercinta ini,” katanya ketika membentangkan Laporan Tahunan Program Transformasi Negara 2012 (NTP) di TV1 yang disiarkan secara langsung di RTM1, malam ini.
Najib berkata, kenanglah ibu bapa yang meniti hari tua tanpa mereka lagi di sisi, kenangilah isteri yang menjadi balu serta anak yang kehilangan belai manja bapanya.
“Kepada mereka kita berjanji bahawa negara ini akan sentiasa memuliakan bakti serta pengorbanan berkenaan,” katanya.
Sumber: Berita Harian
Title : Sabah kekal dalam Malaysia
Description : KUALA LUMPUR: Datuk Seri Najib Razak menegaskan Sabah adalah selama-lamanya sebahagian daripada Persekutuan Malaysia dan rakyat Sabah adalah...
Rating : 5