Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dan Datuk Seri Hishammuddin Hussein menunjukkan gambar sembilan mayat pengganas ditemui dalam satu lubang.
Lahad Datu: Mayat pengganas yang ditemui di Kampung Tanduo di sini adalah bukti pencerobohan dan serangan pengganas bukan sandiwara seperti didakwa sesetengah pihak.
Sambil menunjukkan beberapa keping gambar mayat dan kubur kepada media, semalam Menteri Pertahanan, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, menegaskan Ops Daulat dan penemuan mayat pengganas menangkis pelbagai tuduhan dilempar melalui media sosial.
“Saya menegaskan, pencerobohan ini bukan main-main atau sandiwara seperti yang didakwa sesetengah pihak, khususnya media sosial,” katanya pada sidang media bersama Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Hussein semalam.
Bidas media sosial
Ahmad Zahid turut membidas media sosial yang terus memperlekehkan barisan hadapan pasukan keselamatan walaupun mereka menggadai nyawa demi keselamatan negara.
“Gambar-gambar ini menunjukkan pasukan keselamatan kita mempunyai kebolehan tinggi dalam menjalankan operasi ini. Ia bukan sandiwara,” katanya sambil menunjukkan gambar mayat sembilan pengganas yang sudah berulat dan ditemui dalam sebuah kubur, enam hari selepas mereka dibunuh, Jumaat lalu.
Sementara itu, Hishammuddin berkata, serangan pengganas terhadap anggota forensik semalam menunjukkan mereka bukan setakat ingin menuntut Sabah, malah sanggup berperang untuk mencapai matlamat mereka.
“Operasi mencari dan menggeledah terpaksa dijalankan secara perlahan dan berhati-hati bagi mengelak anggota pasukan keselamatan menjadi mangsa,” katanya.
Sehubungan itu, beliau meminta masyarakat tidak mempersendakan tindakan ketenteraan kerajaan bagi mengatasi ancaman pengganas kerana ada pihak tertentu menyebarkan maklumat palsu mengenai operasi berkenaan melalui media sosial.
Sumber : Berita Harian