SANDAKAN: Kerajaan negeri akan mengekalkan 55 peratus kawasan hutan di Sabah sebagai hutan kekal dan terlindung kerana kawasan semulajadi di negeri ini merupakan antara tarikan pelancongan, kata Menteri Pelancongan, Kesenian dan Alam Sekitar negeri Datuk Masidi Manjun
(gambar).
Beliau berkata dasar kerajaan negeri adalah memastikan penerokaan dan pembangunan di Sabah tidak akan berlaku sewenangnya sehingga mengganggu-gugat hutan kekal dan hutan yang dilindungi.
“Kelebihan Sabah yang memiliki kawasan hutan kekal dan hutan dara yang luas menjadi salah satu tarikan utama sektor pelancongan semulajadi,” katanya kepada pemberita selepas melancarkan Festival Burung Borneo di sini hari ini.
Pada majlis itu, Masidi juga melancarkan ‘Borneo Bird Race’ yang dianjurkan kerajaan negeri dengan kerjasama Brunei Darussalam.
Katanya inisiatif kerajaan memperkenalkan produk pelancongan berasaskan burung sejak lima tahun lepas berjaya menarik pelancong dalam dan luar Negara bagi melihat sendiri lebih 688 spesies burung yang terdapat di Sabah.
Beliau berkata inisiatif itu juga mampu menyumbang kepada budaya penjagaan alam sekitar.
Sumber: borneoinsider.com